PUTRAJAYA, 26 Julai – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini mencemar duli menziarahi keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Hotel Marriot di sini.
Suasana pilu menyelubungi suasana sepanjang 45 minit baginda berdua meluangkan masa bertemu dengan waris mangsa untuk bertanya khabar serta menyampaikan ucapan takziah.
Pertemuan itu melibatkan 100 orang daripada 30 keluarga penumpang dan juga kru pesawat tersebut.
Terdahulu Seri Paduka Baginda berdua mendengar taklimat mengenai nahas Penerbangan MH17 itu yang disampaikan oleh Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS Datuk Mohd Salleh Tabrani.
Sementara itu jurucakap MAS memberitahu kebanyakan keluarga terbabit akan pulang ke rumah masing-masing sempena Aidilfitri manakala yang lain dijangka terus menetap di hotel tersebut bagi menunggu perkembangan terkini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Penerbangan MH17 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200 bersama 298 penumpang dan anak kapal terhempas, dipercayai akibat ditembak, di Donetsk, timur Ukraine, Khamis lepas.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment